Sunday, May 11, 2008

Cerpen "janji kasih"

To whom accidently read my "cerpen" please feel free to give a comment since this is my first "cerpen" i publish here.....tqvm.

"JANJI KASIH"

Adam merenung wajah anak tunggalnya, Azim dengan penuh perasan kasih dan sayang. Pada wajah anak yang berusia 5 tahun itu ditemui ketenangan abadi. 'Sempatkah aku melihat anak ini dewasa?', hati Adam berbisik penuh kepiluan.
"Abang..."perlahan suara Dahlia kedengaran memecah lamunannya. Serentak dengan itu dirasakan isteri kesayangannya memeluk dia dari belakang. Adam hanya mendiamkan diri dan terus merenung Azim yang kelihatan tidur dengan begitu nyenyak, langsung tidak terganggu dengan kehadiran mereka suami isteri . ' Ahhh...betapa anak ini belum mengerti apa-apa dan masih bersih daripada palitan sebarang dosa', Adam terus berbicara dengan dirinya sendiri.
Perlahan dia berpaling sambil mengengam tangan isteri tercinta. "Lia sekiranya abang pergi dulu...", belum sempat Adam meneruskan kata-katanya, Dahlia dengan pantas menekup mulutnya.
"Mari bang, kita ambil angin di luar. Dah lama rasanya kita tak bersembangkan". Dahlia memimpin tangan suaminya dengan lembut sambil tangan kirinya pantas menutup cermat pintu bilik anak tunggal kesayangan mereka.
Waktu itu jam sudah menghampiri 3 pagi. Pasangan suami isteri itu terus melangkah keluar rumah mereka dan memilih untuk bersantai di atas buaian di penjuru kediaman mereka.
"Sayang, abang mesti katakan juga hal ini, walaupun abang tahu ianya pasti melukakan hati Lia..", Adam seakan-akan tidak sabar lagi meluahkan apa yang terbuku di hatinya sekian lama. "Abang, Lia tak sanggup kehilangan abang", Dahlia terus menangis teresak-esak di dalam pelukan suaminya.
"Sabar sayang. Kalau Lia tak sanggup berpisah, abang seribu kali lagi tak sanggup...tapi anggaplah ini semua dugaan Allah untuk kita. Sekiranya ini takdir yang tertulis, kita terpaksa merelakannya", dia cuba berlagak tenang dan beusaha sedaya upaya untuk memberi semangat kepada isteri tercinta walaupun hakikatnya semangat dia sendiri telah hilang sejak 6 bulan yang lalu apabila doktor mengesahkan yang kedua-dua belah buah pinggangnya rosak teruk. Dialisis sudah tidak dapat membantu. Sekiranya tiada pemindahan buah pinggang dilakukan, dia hanya dapat bertahan selama 6 bulan dan sekarang dia telah melewati tempoh yang diberikan. Kebelakangan ini juga kesihatannya semakin merosot. Bagi Adam sekarang dia hanya mengharapkan masa-masa bonus daripadaNya. Dia akui doktor doktor bukanlah tuhan yang dapat menentukan ajal maut seseorang tetapi mereka juga bercakap berdasarkan fakta dan kajian di mana ilmu itu juga daripadaNya.
Esakan Dahlia yang semakin kuat mengejutkan Adam dari khayalannya. "Abang nak Lia tabah hadapi ujian ini. Azim perlukan Lia. Ingat sayang, Allah menguji bila Dia kasih dan sayangkan kita. Allah juga tidak akan menguji kita dengan ujian yang Dia tahu kita tidak akan sanggup menghadapinya". Di samping cuba memujuk Dahlia sebenarnya Adam juga sedang cuba memujuk dirinya sendiri. Bukannya dia tidak berusaha untuk mencari ganti buah pinggang yang rosak itu, bahkan seluruh ahli keluarganya dan keluarga Dahlia rela menderma, tetapi Allah itu Maha Kuasa, tidak ada seorangpun yang bersesuaian kecuali seorang!
" Abang, buah pinggang Lia kan sesuai, tapi kenapa abang tak nak terima?",Dahlia spontan bertanya ketika sedu-sedannya sudah mula berkurangan.
" Kan abang dah cakap, Lia tolonglah jangan bangkitkan lagi soal itu", suara Adam yang agak meninggi itu sedikit membuatkan Dahlia tersentak. Adam terkenangkan peristiwa 3 bulan lepas, bagaimana cerianya Dahlia apabila mengetahui yang buah pinggangnya sesuai untuk didermakan kepada suaminya. Namun kuasa Allah sekali lagi mengatasi segala-galanya. Pada masa yang sama, Dahlia disahkan mengandungkan anak mereka yang kedua.
" Lia sanggup gugurkan kandungan ini bang", begitu tekad Dahlia membuat keputusan bagai terlayar semula di matanya.
" Lia sanggup bunuh anak kita, semata-mata untuk memberi nyawa kepada abang? Maafkan abang Lia, abang tak mungkin sanggup bertukar nyawa dengan zuriat kita sendiri", keputusan Adam juga tekad dan tak mungkin ada sesiapa yang boleh mengubahnya.
Tiada siapa menduga dalam umurnya yang baru mencecah 35 tahun, Adam tiba-tiba dikejutkan dengan penyakit kroniknya itu. Adam juga merupakan seorang yang cukup aktif dan sihat sebelum ini namun kuasaNya tiada siapa dapat menduga.
Adam tiba-tiba menyentuh perut isterinya yang mula membengkak, menandakan zuriatnya sedang membesar di situ. " Bila abang dah tak ada nanti, abang harap Lia didiklah anak-anak kita dengan baik. Moga-moga mereka berdua akan jadi anak yang soleh dan solehah dan dapat mendoakan kesejahteraan abang di sana nanti".
" Abang....", Dahlia cuba membantah, namun bagi Adam dia sudah tidak punya banyak masa lagi. " Sayang, tolonglah beri peluang untuk abang tinggalkan pesan....masa yang tinggal terlalu suntuk untuk kita", di hujung kata-kata Adam itu disambut dengan deraian air mata Dahlia. Semenjak Adam disahkan mengidap sakit buah pinggang ini, air mata Dahlia menjadi terlalu murah.
" Lagi 4 bulan anak kita akan lahir, abang harap Lia ceritakan tentang diri abang pada dia, boleh?", dengan senyuman yang cukup pedih, Adam cuba membayangkan wajah bakal puterinya itu. " Lagi satu, tolong namakan anak kita ini Jasmine. Abang nak kedua-dua bunga kesayangan abang ini, Dahlia dan Jasmine sentiasa mekar di hati abang". Dia telah mendesak Dahlia untuk mengimbas jantina anak yang sedang dikandungkan oleh isterinya itu kerana dia dapat merasakan yang dia tidak akan sempat untuk menatap wajah anak yang bakal dilahirkan itu.
" Insyaallah bang, Lia akan didik anak-anak kita agar menjadi anak yang soleh dan solehah dan Lia akan pastikan juga mereka tidak pernah lupa akan papa mereka", jajni Dahlia kepada suaminya yang tercinta.
" Lia, abang ada satu lagi permintaan yang terakhir. Abang nak Lia janji, selepas pemergiaan abang, sekiranya Lia bertemu dengan seorang lelaki lain yang sesuai, abang nak Lia menikah lagi".
" Ya Allah...abang, tolonglah jangan seksa Lia dengan permintaan abang ini, Lia takkan sanggup bang", Dahlia benar-benar terkejut dengan permintaan terakhir suaminya itu.
" Abang tersangat sayangkan Lia, bukan niat abang untuk menyeksa sayang..., abang yang pergi dah tentu takkan kembali. Abang nak Lia teruskan hidup ini macam biasa demi anak-anak kita, janjilah sayang...", Adam seakan mendesak Dahlia untuk mencari penggantinya nanti.
" Abang....", Dahlia kehilangan kata-kata, mana mungkin dia melafazkan janji itu.
****************************
Suasana di tanah perkuburan itu begitu sepi namun kedamaian tetap terasa. Dua pasang tangan kecil itu mengaminkan bacaan doa ibu mereka. Dahlia merenung wajah anak-anaknya. ' Sudah semakin besar anak-anakku', hati Dahlia berbisik sendu. Azim telah berusia 10 tahun dan wajahnya saling tak tumpah seperti Adam. Jasmine, puterinya juga sudah menginjak ke usia 5 tahun dan dia juga tidak kalah daripada Azim untuk mewarisi wajah papanya.
" Abang, Lia datang ni sebenarnya untuk memberitahu abang yang Lia akan menunaikan pesanan abang yang terakhir', perlahan Dahlia berbisik kepada nesan yang berdiri kaku itu.
' Lia akan bernikah hujung minggu ini. Nama bakal suami Lia ialah Azman. Lia benar-benar ingin berterima kasih kepada abang. Sebenarnya, memang payah bergelar balu dan menjadi ibu tunggal kepada anak-anak kita. Lia tak takutkan gelaran yang Lia sandang itu, namun benar telahan abang, anak-anak perlukan seorang ayah untuk membimbing dan Lia juga perlukan seorang suami sebagai pelindung'.
'Sekarang Lia faham kenapa abang tinggalkan pesanan itu. Abang nak Lia tidak merasa bersalah apabila bertemu dengan orang yang akan menggantikan tempat abang. Namun, Lia tak akan pernah lupakan abang sampai bila-bila. Lia dah sediakan satu sudut di hati Lia, khas untuk abang. Azman juga mengerti dan memahami hakikat ini. Namun, Lia tetap akan berusaha untuk menjadi isteri yang solehah kepada Azman nanti'.
Dahlia merasakan ada tangan yang menyentuh lembut bahunya. Dia mendongak dan matanya bertembung dengan renungan Azman.
" Rasanya dah sampai masa untuk kita pulang", ujar Azman dengan lembut seraya memimpin Azim dan Jasmine di kanan dan kirinya.
" Izinkan Lia pergi dulu bang. Jika ada keizinan daripada suami Lia nanti, Lia akan menjenguk abang lagi di sini'. Dahlia melangkah dengan perlahan meninggalkan penghuni kubur di situ bersemadi dengan aman.



2 comments:

azizi said...

aduii ..sad story ..

mazddaud said...

thanks for reading..sedih ke? jangan nangis tau....nak pujuk jauh sangat la...:)